Monday, January 14, 2013

Tahun Baharu…Bayangan Tahun-Tahun Sebelumnya



Tahun baru adalah sambungan kisah-kisah yang lalu.  Ianya bukanlah permulaan baru dalam erti kata hakiki atatupun "kelahiran semula".  Kita masih membawa cerita-cerita suka mahupun duka sebelumnya.  Ini pun bukan bermakna kita akan berterusan bersedih biarpun banyak episod-episod luka yang ingin kita lupakan masih berpaut di ingatan.  Begitulah juga sebaliknya.

Tahun lalu banyak cabaran yang dilontarkan dari kedua dua sisi zahir dan juga batin., bukan saja untuk aku dan keluarga terdekat malah juga untuk kawan kawan yang rapat denganku.  Dugaaan kesihatan, kewangan, perpisahan, permusuhan dan pelbagai lagi.  Semuanya kalau kita amati adalah perkara-perkara biasa selagi kita bergelar manusia selagi itulah kita berdepan dengan perkara sebegitu.  Dari sudut lain, bohonglah kalau tidak ada langsung cerita-cerita yang indah berlaku seperti kelahiran ahli keluarga baru, bertemu pasangan hidup, memenangi loteri dan sebangainya.  Cuma kisah-kisah gembira ini sering digerhanakan oleh perasaan sedih serta murung yang datangnya tak berjangka.

Seperi kata-kata klise, hidup seperti roda, kita akan merasakan naik dan turunnya dan yang membezakan kita  adalah magnitud dan tahap penerimaan kita terhadap sesuatu perkara.  Si kaya kehilangan RM100 berbeza dengan si miskin kehilangan nilai yang sama tetapi jika tahap penerimaan si miskin itu tinggi maka perbezaan itu mampu dikurangkan.

Setelah berpuluh tahun melalu tahun baharu, kali ni aku cuba memilih untuk menghadapinya secara berbeza.  Saban setiap kali ditimpa kesusahan, kesempitan dan kecelakaan jalan biasa yang diambil adalah dengan membesarkan kesempitan serta kesusahan sampai tiada nampak jalan keluar.  Selepas itu semua dipersalahkan termasuklah Tuhan.  Pendekatan ini memang melegakan kerana merasakan ada sokongan simpati dari orang orang terdekat serta semuanya adallah takdir tuhan maka sebetulnya tuhan juga diersalahkan.  Ini penyelesaian mudah dan sementara kerana tidaklah memerlukan penggunaan akal yang meluas.  Kurang duit, cerita dan besarkan kesedihan kepada kawan-kawan lepas tu salahkan Tuhan.  Sakit badan juga salahkan tuhan.  Semua cerita sedih dan negatif adalah salah Tuhan dan mula mempersoalkan ketentuan Tuhan.  Jauh sekali melihat dari aras tinggi  mengapa semua terjadi.  Ini memerlukan kekuatan serta ketajaman otak untuk menyelingkap rahsia sesuatu kejadian yang buruk serta yang baik.  Jarang berfikir tentang terjadinya berita gembira lebih tertumpu pada cerita cerita yang sedih.

Semua mahu hidupnya senang lenang dan tenang sampai ke hujung nyawa.  Itu bukan maknya tiada kecelakaan yang akan berlaku,  Cuma bagaimana hendak menerima dan berhadapan dengannya dapat memisahkan ketenangan dan keresahan.  Pilihannya di tangan kita dan kita berupaya melakukannya disertai dengan doa yang tidak putus-putus.

Pun bukanlah mudah seperti yang ditulis kerana yang pasti ujian-ujian kesusahan dan kesenangan akan senantiasa datang dalam keadaan yang tidak kita jangka,  Hidup seperti "electronic game" selagi kita gagal melepasi aras tertentu selagi itulah kita akan ditakuk yang sama.  Sesusah berjaya di sesuatu tempat pasti akan diuji dengan tempat atau keadaan yang lebih susah.  Itulah kehidupan dan kita tak dapat mengubah permainannya hanya mampu menyediakan diri dan mebubah strategi bila perlu untuk bertarung.

Hidup hanya sekali dan pilihlah sebaik-baiknya.  Gundah gelana atau aman dan tenang adalah pilihan kita sebenarnya dan salahkan Tuhan adalah sesuatu yang sia sia.  Kalau tahun ini tahun gembira ianya adalah pilihan kita dan kiranya tahun ini terasa sempit dan sedih ianya juga pilihan hati kita samada kita sedar ataupun tidak.  Biarpun tahun tahun yang lalu membayangi kita namum kita punya pilihan untuk mencorakkan tahun-tahun yang mendatang.  Ini perlukan kerja yang kuat.  Tiada ketenangan dan kesenangan tanpa mengorbankan sesuatu yang kita sayangi.  Umpama dalam perang, haruslah tidak kita leka biarpun sesaat.