Sementara masih lagi di awal musim 2011 adalah elok kiranya kita meperinci semula tentang masa yang telah berlalu. Kiranya, selama ini impian masih tak tercapai. mungkin ada baik untuk beristirahat sebentar dan imbas semula sebanyak mana kemahuan telah dikecapi. Adakah telah berpuas hati dengan prestasi dan pencapaian? Susah sebenarnya untuk menilai kemaujuan hidup ini, kerana tidak ada ujian dan peperiksaan.
Bukan seperti di zaman persekolahan di mana setiap tahun ada buku laporan atau buku kemajuan, maka kita akan tahu di mana kedudukan kita sebenarnya. Kalau dapat nombor satu maka kita tahu kita telah "berjaya" dan kiranya mendapat tempat di belakang, itu menjadi satu isyarat kita harus berbuat sesuatu untuk ke depan.
Selepas zaman peperiksaan, tiada lagi kayu pengukur yang rasmi, terpulang kepada individu untuk mengukur keupayaan sendiri. Namun, tidak pula disediakan atau dinyatakan apakah kriteria-kriteria untuk mengukur kemajuan atau kemunduran. Terpulanglah kepada yang empunya diri untuk mencari dan membuat penanda aras ke mana hendak dituju, Jadi timbullah soalan soalan seperti, dimanakah diri anda 5 tahun dari sekarang, apakah rencana panjang anda untuk kehidupan ini. Aku tak pernah ambil pusing sangat tentang persoalan seperti itu. Ibarat, kulit kayu yang melalui sebantang sungai, aku hanya memikirkan ketika dan saat itu apa yang perlu aku lakukan untuk terus timbul. Tak pula aku berfikir secara mendalam ke mana hendak ku tuju dan apa yang perlu aku sediakan. Itulah yang membezakan golongan-golongan manusia yang berjaya menempuh hidup, mereka tahu ke mana mereka mahu pergi dan apa yang perlu di bawa. Dalam hidup ini, kitalah yang sebenarnya meletakkan kayu pengukur dan ianya berbeza-beza bagi setiap individu, ada yang mahu jadi jutawan, ada yang mahu jadi artis, ada yang mahu jadi ustaz. Itu yang pertama, selepas itu perlu ada keazaman yang meggunung tinggi untuk ke sana. Sampai atau tidak, itu persoalaan yang kedua dan ketiga...........tetapi kena mulalah langkah ke sana.
Rumit kalau tidak ada tujuan atau cita-cita, mahu tak mahu terpaksa lah punya impian. Lagi parah kalau cita-cita atau keinginan terhenti selepas tamat persekolahan, bagai sabut yang timbul dilautan hanya mengikut kehendak arus dan segala tindakan kita pasti hanya untuk melepasi ombak pada ketika itu saja. Pada masa lain kita mengikut saja putaran arus. Ini mungkin boleh bertahan sehari dua, mungkin juga dua tiga bulan ataupun sepuluh lima belas tahun. Selepas itu pastinya kau akan terhenti sejenak dan terfikir apa yang telah kalu lalau dan perolehi sepanjang kehidupan ini. Adakah kau "berjaya" ataupun sebaliknya.
Perjalananan aku terhenti seketika di sini, kulit kayu yang aku tumpang baru melepasi ombak yang kuat dan aku masih terselamat. Sementara, dalam keadaan aman ini aku cuba bermukim di sini dan melayani kehendak minda dan perasaan dan memikirkan apa yang aku mahukan sebenarnya dan apa yang aku harapkan dari sebuah penghidupan. Baru aku terasa susah, untuk fikirkan apa yang kau mahukan kerana ianya haruslah selari dengan tahap bakat dan pengalaman yang melekat di roda roda kehidupan. Andai tiada bakat untuk dijadikan bekal, maka haruslah sanggup bekerja tanpa lelah untuk perolehinya. Jangan sesekali salahkan keadaan sekeliling kerana keadaan itulah yang sebenarnya membuka peluang untuk kita melonjakkan dan membebaskan potensi diri kita sendiri.
Untuk tahun ini dan seperti tahun-tahun lepas bermula dari tahun-tahun tamatnya persekolahan, aku mahu jadi senang. Ini satu yang besar. Aku perlu kecil-kecilkan langkah dan mencari kayu-kayu pengukur yang sesuai untuk ke sana. Mahu jadi senang bukan bermakna mahu jadi kaya dan tidak juga bermakna aku tidak mahu jadi kaya. Cuma menjadi kaya, bukanlah satu elemen yang kuat dalam aku menjadi senang. Konteks senang di sini, aku mahu tenang, aman, sentosa dan bebas dalam segala gerak geri aku seterusnya dari dipengaruhi materi keduniaan semata-mata. Aku perlukan duit, tapi bukan sampai melimpah ruah yang akhirnya buat aku jadi tak senang. Aku perlukan kesihatan, agar jiwa aku tenang. Aku mahukan kebebasan agar mudah mendampingi hidup tanpa sebarang prejudis. Aku perlukan sentosa agar tidur malam tidak diganngu permasalahan pada siang hari.
Paling penting aku mahu senang mudah-mudahan anak-anak aku berasa senang dalam ketentuan kesenangan yang abadi.
No comments:
Post a Comment